Teks Ucapan YAB Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Hj Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Dan Pengajian Tinggi Malaysia Di Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru ke-42

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan,

Menteri Besar Negeri Sembilan;

 

Yang Berhormat Datuk Seri Idris Jusoh

Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II

 

Yang Berhormat Datuk Marry Yap

Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi I

 

Yang Berhormat P. Kamalanathan

Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II

 

Yang Berbahagia Dato' Dr. Rosli bin Mohamed,

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Ghafar bin Mahmud,

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;

 

Yang Berbahagia Puan Hajah Kalsom binti Khalid, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan

Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia,

 

Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Ketua-Ketua Bahagian Kementerian Pelajaran Malaysia, Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri,

 

Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puan-puan dan para pendidik yang saya hormati sekalian.

 

PENDAHULUAN

 

1. Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. dengan berkat izin dan limpah kurnia-Nya, dapat kita berhimpun pada malam ini untuk sama-sama meraikan para guru dan seluruh warga Kementerian Pelajaran Malaysia sempena sambutan Hari Guru 2013. Terlebih dahulu, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus atas kesudian menjadi tuan rumah dan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan program sambutan Hari Guru pada tahun ini.

 

2. Saya juga mengucapkan tahniah kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan atas kejayaan memimpin Barisan Nasional memenangi negeri ini dalam pilihanraya umum yang baru lalu. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Datuk Seri Idris Jusoh, Yang Berhormat P Kamalanathan dan Yang Berhormat Mary Yap atas pelantikan sebagai Menteri II dan Timbalan-Timbalan Menteri di Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi. Saya berharap agar dengan pelantikan Yang Berhormat sekalian di Kementerian kita ini akan dapat membantu saya melaksanakan tugas yang lebih mencabar selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap bidang pendidikan dari peringkat pra-sekolah hingga ke tahap pengajian tinggi. InsyaAllah dengan kerjasama yang erat antara anggota pentadbiran yang baru dilantik oleh YAB Perdana Menteri dan seluruh warga Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi yang digabungkan, kita akan dapat bersama-sama melaksanakan amanah memacu kecemerlangan pendidikan di negara kita dengan sebaik mungkin.

 

3. Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang telah sekali lagi memberikan kepercayaan kepada saya untuk memimpin Kementerian Pelajaran yang amat penting kepada perpaduan rakyat dan kemajuan negara kita. Keputusan YAB Perdana Menteri untuk menggabungkan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi di bawah satu bumbung dengan pelantikan seorang Menteri Kedua adalah satu keputusan tepat yang melambangkan keprihatihan kepimpinan beliau untuk melihat bidang pendidikan di negara kita dapat diurus dengan lebih cekap dan menyumbang secara lebih berkesan kepada kemajuan negara. InsyaAllah, dengan penggabungan kedua-dua Kementerian ini kita akan dapat melaksanakan dasar-dasar yang lebih seragam di semua peringkat pendidikan di samping berkongsi sumber dan kepakaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk melonjakkan lagi mutu pendidikan di negara kita. Usaha-usaha transformasi pendidikan akan dapat dilaksanakan dengan lebih efisyen apabila kepakaran daripada semua peringkat pendidikan dapat digembeng secara lebih menyeluruh untuk menghasilkan satu lonjakan berganda dalam pendidikan negara.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

 

4. Tarikh 16 Mei merupakan hari yang begitu istimewa buat setiap insan bergelar guru. Hari ini memberi peluang kepada kita semua untuk menyatakan penghargaan dan penghormatan terhadap jasa bakti guru kita di seluruh negara. Tidak kira samada anda adalah guru yang bertugas di tadika, di sekolah, di kolej atau di universiti, anda semua adalah insan istimewa yang telah membimbing anak bangsa sehingga mereka menjadi warganegara yang berjaya. Justeru, sempena tarikh keramat ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru tidak kira walau di mana anda berada di seluruh pelusuk negara.

 

5. Sebagai Menteri Pelajaran saya menyeru para guru yang dikasihi untuk terus berjihad dan bertekad bersama-sama kerajaan Barisan Nasional yang telah sekali lagi diberi mandat oleh rakyat untuk menerajui negara bagi menerus dan mempergiatkan usaha mendidik generasi muda menjadi insan dan warganegara yang berguna. Kerajaan sentiasa menghargai peranan para guru dalam membina modal insan, memelihara perpaduan kaum dan berbakti kepada negara.

 

6. Tidak dapat kita nafikan, kesejahteraan dan kehidupan selesa yang kita nikmati pada hari ini adalah hasil sumbangan dan berkat kegigihan serta pengorbanan guru dalam bidang pendidikan. Matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan seimbang dan holistik tidak akan tercapai tanpa peranan besar yang dimainkan oleh para guru. Segala dasar dan pelan pendidikan yang terbaik tidak dapat direalisasikan tanpa komitmen dan dedikasi para guru. Segala cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh generasi masa kini memerlukan bimbingan para guru. Bahkan, tugas guru pada alaf ini menjadi semakin penting kerana bidang pendidikan merupakan penentu kejayaan sesebuah negara. Cabaran besar untuk mendidik murid agar menghargai nilai keinsanan, menghormati perbezaan adat dan budaya serta memperkukuh perpaduan dan jati diri memerlukan guru yang bukan hanya mahir mengajar tetapi juga bijak membimbing.

 

7. Lebih-lebih lagi dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, peranan guru membina sebuah masyarakat yang harmonis dan bersatu padu menjadi semakin mencabar. Walaupun negara kita telah merdeka lebih 56 tahun dan masyarakat pelbagai kaum dapat hidup secara bersama dalam suasana yang aman dan harmoni, tugas untuk memelihara perpaduan kaum adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan secara berterusan. Kita tidak boleh lalai dan leka kerana kecenderungan ke arah polarisasi kaum sentiasa wujud dan jika tidak dibendung ia akan memberikan kesan yang amat buruk terhadap keharmonian masyarakat dan kestabilan negara.

 

8. Oleh sebab itu, antara peranan utama pendidikan sepertimana yang termaktub dalam Dasar Pendidikan di negara kita ialah untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu menerusi satu sistem pendidikan kebangsaan. Kewujudan sekolah-sekolah kebangsaan yang menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama adalah wahana penting untuk membolehkan murid pelbagai kaum mengikuti pendidikan menggunakan kurikulum yang sama, bertutur dalam bahasa yang sama dan bergaul sesama mereka dalam suasana yang penuh mesra dan akrab.

 

9. Dalam konteks ini, pendidikan merupakan wahana penting pembinaan sebuah negara bangsa yang bersatu padu. Sekolah-sekolah kebangsaan merupakan wahana pemersatu yang mempunyai peranan penting untuk menyatukan semua kaum di negara kita. Kita perlu sentiasa memikirkan bagaimana institusi pendidikan di peringkat sekolah dan universiti dapat membina perpaduan yang lebih jitu dalam kalangan rakyat. Setiap institusi pendidikan di negara kita perlu mewujudkan suasana yang kondusif untuk membolehkan murid daripada pelbagai latar kaum dan agama bergaul sesama mereka dengan lebih mesra dan akrab. Kita perlu runtuhkan tembok prejudis yang tebal dengan menggalakkan interaksi yang harmonis antara murid pelbagai kaum. Pada masa yang sama, kita mesti meneruskan usaha memperkasa sekolah kebangsaan sebagai sekolah perpaduan dan memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan rakyat.

 

10. Menerusi sistem pendidikan kebangsaan, kita mesti lahirkan warga negara yang patriotik dan berakhlak mulia, yang memahami sejarah asal usul negara bangsa, yang mengormati perlembagaan dan undang-undang negara, yang menjunjung sistem demokrasi berperlembagaan, dan menghayati semangat serta prinsip rukunegara. Pendidikan di negara kita bukanlah semata-mata alat untuk melahirkan modal insan yang berjaya memacu kemajuan negara, tetapi juga melahirkan insan mulia dalam sebuah masyarakat majmuk yang menghayati sejarah, menghormati perbezaan agama, adat dan budaya serta menghargai nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

 

11. Tugas penting ini tergalas di bahu para guru. Mudah-mudahan jasa dan bakti guru yang dicurahkan pada hari ini akan menentukan rupa wajah masa depan negara kita yang lebih bersatu-padu.

 

GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA

 

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

 

12. Pada tahun ini, kita memilih “GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA” sebagai tema Hari Guru. Pada hemat saya, tema ini amat bertepatan dengan hasrat Kementerian untuk mentransformasi sistem pendidikan negara menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang telah kita lancarkan. Tema ini merupakan cerminan harapan rakyat dalam melahirkan generasi masa hadapan yang lebih cemerlang di negara kita. Seluruh warga pendidik wajar memahami hasrat dan kehendak dalam PPPM dengan berusaha memberikan pendidikan berkualiti menjangkau ke seluruh lapisan kanak-kanak sesuai dengan prinsip pendidikan untuk semua tanpa membezakan kaum, status sosial, taraf ekonomi, dan agama.

 

13. Kementerian Pelajaran telah merangka pelan pembangunan yang komprehensif untuk mencapai matlamat PPPM. 100 inisiatif utama telah dibentuk bagi pelaksanaan PPPM 2013-2025 yang merangkumkan dasar-dasar utama kerajaan termasuk Pelan Transformasi Kerajaan, Pelan Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10. Saya juga amat bersyukur kerana sasaran enam inisiatif untuk 100 hari gelombang pertama PPPM telah pun berjaya dicapai.

 

KEJAYAAN 100 HARI PERTAMA PPPM

 

14. Antaranya, 61,000 orang guru Bahasa Inggeris telah diuji melalui Cambridge Placement Test (CPT) bagi mengenal pasti tahap profisiensi guru dalam bahasa Inggeris. Berdasarkan analisis keputusan CPT yang telah dilaksanakan, kohort pertama yang terdiri daripada 5,000 guru telah memulakan latihan bagi meningkatkan lagi tahap profisiensi mereka. Seterusnya, program latihan Professional English Language Teaching (Pro-ELT) dilaksanakan secara berfasa melibatkan guru-guru Bahasa Inggeris yang berkenaan.

 

15. Kementerian berharap agar guru yang mengikuti program latihan secara tersusun dan sistematik akan dapat melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah dengan lebih berkesan. Seterusnya, sudah pasti murid akan beroleh manfaat dan mampu bersaing di persada antarabangsa apabila mereka lebih fasih serta yakin untuk berbahasa Inggeris.

 

16. Peningkatan kualiti guru juga dilaksanakan dengan mewujudkan 339 Rakan Peningkatan Sekolah (SiPartners+) dan 1,278 Pembimbing Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) yang ditempatkan di Pejabat Pelajaran Daerah di seluruh negara menjelang 2014. SiPartners+ dan SISC+ diwujudkan untuk mengiktiraf kepakaran guru melalui Program Transformasi Pejabat Pelajaran Daerah. Pembimbing guru dan kepimpinan sekolah yang dirintis di Kedah dan Sabah telah berjaya membantu meningkatkan kesedaran guru kepada amalan pengajaran yang lebih efisyen di samping pengurusan sekolah yang lebih cekap. Melalui transformasi PPD, saya yakin guru mendapat sokongan yang terbaik sehingga dapat meningkatkan kualiti sekolah dengan pengurangan sebanyak 50 peratus sekolah dalam band 6 dan 7 di negeri Sabah dan Kedah. InsyaAllah, menjelang tahun 2015 kita akan berjaya mencapai sasaran sifar bagi kedua-dua band tersebut.

 

17. Dengan kejayaan mencapai matlamat inisiatif 100 hari pelaksanaan PPPM, saya suka mengingatkan agar kita semua janganlah lalai dan leka. Usaha yang berterusan perlu digiatkan bagi memastikan anak didik kita menguasai kemahiran, pengetahuan dan pengalaman pembelajaran yang berkualiti. Justeru, usaha bagi merealisasikan kesemua 19 inisiatif PPPM perlu kita laksanakan sedaya upaya dengan penuh komitmen agar menjelang 2015 segala perancangan strategik berjaya dilaksanakan sepenuhnya. Saya amat mengharapkan jasa baik dan bantuan guru-guru untuk berganding bahu bersama-sama saya menjayakan inisiatif PPPM yang telah kita usahakan.

 

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

 

PERANAN GURU DALAM PPPM

 

18. Dalam melaksanakan hasrat PPPM, para guru berperanan untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap bertaraf dunia. Untuk itu, para guru perlu memiliki satu wawasan unggul untuk mentransformasi pelbagai aspek pendidikan, berpemikiran aras tinggi dan mampu berinovasi. Bagi menyahut hasrat ini, para guru perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan keberhasilan sekolah dan kemenjadian murid. Saya akur, guru selama ini memang telah berakauntabiliti dalam meningkatkan pencapaian murid dan kejayaan sekolah. Namun, akauntabiliti terhadap keberhasilan operasi sekolah masing-masing perlu terus dipertingkatkan kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini persaingan menjadi semakin sengit. Kebolehan kita untuk berjaya bergantung pada kelebihan daya saing kita yang ditentukan oleh kemampuan minda dan keupayaan berfikir pada aras tinggi. Oleh itu, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) meliputi pemikiran kritikal, keupayaan berkomunikasi, kemampuan penerokaan persekitaran serta keyakinan kendiri perlu sentiasa dijana menerusi pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang holistik.

 

19. Bagi menilai keberkesanan KBAT, sebanyak 30 peratus soalan dalam peperiksaan pusat seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM/STAM menjurus kepada elemen KBAT. Dalam kalangan murid juga, KBAT dinilai melalui peperiksaan antarabangsa seperti TIMSS dan PISA sesuai dengan hasrat Kementerian untuk melahirkan murid yang mampu bersaing di peringkat global. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah dilaksanakan dalam tempoh dua tahun ini diharap dapat mengesan kelebihan atau kegagalan penguasaan murid dari peringkat awal. Melalui PBS, saya yakin guru dapat mencungkil kemahiran berfikir aras tinggi murid dan menggalakkan perekaciptaan dalam kalangan mereka.

 

20. Pendeta Za’aba pernah menegaskan bahawa ilmu pengetahuan adalah asas terpenting yang menyelamatkan manusia daripada belenggu kemunduran. Justeru, pendidikan dan penghayatan ilmu perlu sentiasa dimantapkan agar kita kekal relevan dalam persaingan menuju negara maju. Oleh sebab itu, guru-guru juga harus berani meneroka pelbagai cabang ilmu untuk mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran yang berkesan. Warga guru wajar mencontohi Cikgu Zainuddin Zakaria dari SMK Taman Bukit Maluri Kepong yang telah memenangi tempat pertama dalam kategori “Educator’s Choice” semasa persidangan ‘Microsoft 8th Partners in Learning Asia and Pacific Forum’ di New Zealand menerusi hasil penciptaan beliau yang menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran

 

LATIHAN DAN LALUAN KERJAYA GURU

 

21. Pemerkasaan guru melalui latihan yang berterusan amat penting bagi menghasilkan tenaga kerja mahir. Modal insan minda kelas pertama dipertaruhkan untuk memacu pembangunan negara dalam merealisasikan Wawasan 2020. Oleh itu, amatlah wajar aspek pendidikan guru menjadi agenda utama kementerian. Pelan induk Pembangunan Profesionalisme Berterusan (CPD) baharu dan pangkalan data pengesanan CPD bagi memantap dan mengukuhkan ilmu pengetahuan akan dilaksanakan. CPD dapat membangunkan kapasiti dan mengukuhkan nilai profesional untuk meningkatkan kualiti diri dan kompetensi dalam profesion seiring dengan aspirasi negara. Peningkatan keupayaan dan kompetensi guru termasuk pemimpin sekolah diberi keutamaan bagi menjamin keberhasilan pencapaian murid. Dalam usaha memastikan guru berpeluang untuk mendapatkan latihan yang cukup, Latihan Berasaskan Sekolah perlu dirancang dan dilaksanakan di setiap sekolah.

 

22. Kerajaan amat berterima kasih atas usaha dan ketekunan guru meningkatkan kualiti pendidikan. Demi memartabatkan profesion keguruan, kerajaan telah menggariskan beberapa inisiatif untuk meningkatkan taraf para guru. Melalui PPPM 2013-2025, pelan untuk menaik taraf profesion keguruan akan dirangka supaya 420,000 guru berpeluang dinaikkan pangkat berdasarkan prestasi. Laluan kerjaya yang terbaik akan disediakan untuk guru. Namun guru-guru hendaklah berada di tahap prestasi cemerlang dalam Penilaian Instrumen Bersepadu dan melengkapkan diri melalui CPD yang bersesuaian sebelum dipertimbang dan diperakukan untuk kenaikan pangkat. Walau bagaimanapun, untuk memastikan pendidikan negara terus berkualiti, guru berprestasi rendah akan melalui CPD yang sistematik dan berstruktur atau sesi kaunseling mengikut keperluan. Bagi guru-guru yang masih lagi tidak menunjukkan sebarang peningkatan atau perubahan walaupun telah melalui CPD berkenaan akan melalui proses penempatan semula mengikut kesesuaian.

 

23. Guru-guru yang baru dilantik atau novis juga perlu bersedia dengan pengetahuan dan kemahiran supaya dapat mengharungi perubahan persekitaran yang dinamik. Guru perlu mengajar murid untuk mempraktikkan ilmu dan mengaplikasikan serta mencetuskan idea baharu. Bagi menghasilkan modal insan yang setanding dengan aras antarabangsa sekurang-kurangnya pada tahap ‘kategori tiga teratas’ dalam sistem pendidikan terbaik dunia, maka profesion keguruan perlu ditransformasikan. Selaras dengan PPPM 2013-2025, Institut Pendidikan Guru (IPG) perlu membawa perubahan melalui penggunaan prinsip Strategi Lautan Biru dengan mencipta pasaran atau produk yang belum ada saingan, menjadikan saingan tidak relevan, fokus kepada bukan pelanggan sedia ada dan mencipta serta meneroka permintaan baharu. Dengan perkataan lain, IPG perlu mengorak langkah memperluaskan pasaran latihan perguruan ke luar negara dan secara tidak langsung melebarkan kebolehpasaran graduan IPG sendiri. Sudah sampai masanya IPG menghasilkan kurikulum pendidikan guru bertaraf antarabangsa supaya latihan perguruan dapat diperluaskan dengan menawarkan latihan perguruan kepada negara dunia ketiga.

 

24. Sesungguhnya guru juga akan menikmati persekitaran kerja yang lebih sesuai bagi memastikan kualiti kerja meningkat. Sesungguhnya guru juga akan menikmati persekitaran kerja yang lebih sesuai bagi memastikan kualiti kerja meningkat. Melalui PPPM 2013-2025, guru akan didedahkan dengan budaya kerjasama dan kecemerlangan profesional. Mereka perlu saling bekerjasama dalam menangani isu dan berkongsi amalan terbaik. Dengan itu, guru akan mempunyai keluwesan pedagogi yang lebih besar di dalam bilik darjah bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran murid. Untuk memastikan guru lebih fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran dan murid mendapat faedah semaksimum mungkin, maka kita sedang menjalankan kajian rintis di Melaka bagi menempatkan pembantu tadbir N17 di sekolah bagi menguruskan tugas perkeranian guru data, perpustakaan dan media. Guru data dan guru media akan melepaskan tugas berkenaan secara beransur-ansur untuk memberi fokus kepada pengajaran dan pembelajaran secara sepenuh masa. Dapatan awal kajian rintis menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Sekiranya kajian rintis ini berjaya, maka insyaAllah kita akan memperluaskan khidmat sokongan pembantu tadbir N17 ini ke semua sekolah secara berperingkat-peringkat. Kita yakin, masa mengajar guru yang berkualiti adalah sangat berharga dalam meningkatkan kualiti pendidikan secara keseluruhannya.

 

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

 

TRANSFORMASI KURIKULUM

 

25. Kita sedar bahawa penghayatan nilai-nilai rohani adalah satu tonggak utama dalam pendidikan. Sementara kita ghairah mengejar kemajuan duniawi, pembentukan insan yang beriman dan bersahsiah mulia jangan kita abaikan. Saya amat bersyukur dalam PPPM 2013-2025, aspek kerohanian juga ditekankan bagi menjana modal insan berakhlak mulia. Pembentukan murid dengan nilai-nilai murni berasaskan ajaran agama amat penting bagi memastikan negara memperoleh generasi pemimpin masa hadapan yang telus, bertanggungjawab dan berintegriti. Justeru, Transformasi Kurikulum Pendidikan Islam digubal dengan mewujudkan Kurikulum Dini dan Kurikulum Tahfiz sebagai Kurikulum Kebangsaan yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula dengan Tingkatan Enam Dini pada tahun 2014 dan Tingkatan 1 pada tahun 2015. Pendaftaran Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Agama Rakyat sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan jelas membuktikan bahawa KPM komited untuk mengangkat martabat pendidikan Islam di negara ini. Di samping itu, KPM turut mengambil perhatian terhadap penerapan nilai-nilai murni menerusi pelaksanaan kurikulum Pendidikan Moral.

 

26. Selain itu, kemahiran vokasional dan perekaciptaan dalam kalangan murid diperluaskan dalam Pelan Transformasi Pendidikan Vokasional. Pelan tansformasi ini telah dilancarkan merangkumi lima strategi utama, lima inisiatif serta sebelas tindakan bagi meningkatkan nilai pasaran kerja murid dan melonjakkan kualiti pendidikan vokasional setaraf dengan negara maju. Sesungguhnya, transformasi vokasional telah menunjukkan kejayaan apabila KPM menerima permohonan memberangsangkan dengan 110,000 pemohon untuk mengikuti kursus di Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik. Buat masa ini kita dapat menampung 23,000 orang pelajar bagi program aliran vokasional, kemahiran dan teknikal. Usaha sedang dibuat untuk menyediakan lebih banyak tempat bagi memenuhi permintaan yang tinggi dalam aliran ini.

 

27. Bagi meningkatkan kualiti pendidikan vokasional, jalinan kerjasama dengan Institut Latihan Kemahiran Awam dan Swasta telah dilaksanakan. Jalinan kerjasama ini memantapkan lagi proses pembelajaran dan latihan pelajar sebelum menempuh alam pekerjaan sebenar. Penglibatan dalam perkongsian ini akan membolehkan KPM memperoleh teknologi serta kepakaran, selain mengelak berlakunya masalah ketidaksepadanan antara latihan kemahiran yang disediakan dan bidang pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak industri.

 

KEJAYAAN GURU DARI ASPEK LATIHAN DALAM BIDANG SUKAN

 

28. Pada hari ini, kita dapat membuktikan landasan yang dibina oleh KPM dari peringkat akar umbi telah menghasilkan atlet murid yang cemerlang dan berpotensi tinggi bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah di peringkat antarabangsa. Banyak kejayaan yang telah diraih oleh atlet kita di temasya sukan di dalam dan luar negara. Sebagai contoh, di Kejohanan Balapan dan Padang MSSM 2012, sebanyak 10 rekod baru dicipta. Begitu juga dalam Kejohanan Renang MSSM 2013, sebanyak 12 rekod baru dicipta. Perenang muda seperti Welson Sim dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Yap Siew Hui dari SMK Khatolik Petaling Jaya bakal mewakili negara pada masa terdekat. Ini jelas menunjukkan peningkatan prestasi atlet kita bermula di peringkat kebangsaan. Di persada antarabangsa pula, atlet murid kita juga telah menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam Kejohanan ASEAN Schools Games 2012. Saya begitu bangga kerana Malaysia menjadi johan dalam sukan balapan dan padang.

 

29. Atlet kita juga cemerlang dalam kejohanan badminton Sekolah-Sekolah Asia apabila pasukan negara muncul sebagai juara di rantau Asia. Di kejohanan bolasepak Sekolah-Sekolah Asia Bawah 15 Tahun, kontinjen negara telah diumumkan sebagai naib johan. Di samping itu, terdapat juga atlet murid dari Sekolah Sukan Bukit Jalil mewakili remaja negara dalam sukan skuasy seperti Ng Eain Yow yang telah menjuarai kejohanan Skuasy Remaja Terbuka British. Begitu juga dengan atlet murid sukan renang dan menembak yang telah menyinar dalam Australian Youth Olympic Festival dengan meraih pingat emas. Atlet murid perempuan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil kita pula cemerlang dalam kejohanan bola jaring ‘Tri-Nations’ di Hong Kong dengan menjuarai kejohanan tersebut. Atlet murid ini bakal mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. KPM sentiasa menghargai jasa guru dalam mengharumkan nama sekolah, daerah, negeri serta negara dengan usaha gigih dan mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang sukan selama ini.

 

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

 

30. Seperti yang saya sebutkan di awal ucapan, kelestarian, kemajuan dan kemakmuran negara juga terletak pada keupayaan guru untuk memupuk perpaduan dan keharmonian kaum yang berkekalan. Bagi meningkatkan lagi penghayatan murid pelbagai kaum terhadap nilai patriotisme, guru perlu melaksanakan pelbagai program yang menjurus ke arah penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara. Usaha memperkenalkan dan mempopularkan lagu-lagu patriotik dalam kalangan murid merupakan satu langkah yang baik untuk mewujudkan integrasi nasional di semua jenis sekolah. Di samping itu, sukalah saya mengingatkan guru-guru agar menjadi suri teladan dan contoh yang baik kepada murid dalam usaha menghayati nilai-nilai murni serta nilai patriotisme itu sendiri. Dalam konteks ini, guru juga harus sentiasa menyuntik rasa bersyukur dan berterima kasih dalam sanubari murid atas kemakmuran dan kestabilan negara yang sedang kita nikmati hingga ke hari ini.

 

31. Saya juga berasa teruja untuk mengucapkan terima kasih atas pengorbanan dan keberanian guru-guru kita di Lahad Datu. Saya ucapkan terima kasih terutama kepada Cikgu Saabi binti Hasin dari SK Lok Buani Lahad datu yang menjadikan rumahnya sebagai sekolah sementara untuk anak-anak murid belajar dan membiayai pula perbelanjaan makan minum mereka. Selain itu, saya juga mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Catherine Gonolon dari SK Fajar Harapan Lahad Datu yang sanggup berada di kawasan pertempuran dan mengajar murid-murid dari sekolah yang berlainan. Inilah antara contoh guru yang kita sanjung tinggi. Saya berharap tiada lagi guru yang mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi yang boleh menjatuhkan maruah dan kredibiliti guru yang sememangnya disanjung tinggi oleh masyarakat kerana sanggup berbakti tanpa mengira suasana, masa dan tempat. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada guru-guru yang sanggup berkorban dalam apa jua keadaan demi mendidik anak bangsa.

 

32. Setimpal dengan jasa dan pengorbanan guru yang tidak terhingga, kerajaan menyediakan Anugerah Tokoh Guru pada setiap tahun bertujuan untuk mengenang jasa dan bakti guru yang telah bersara, namun tetapi masih aktif berbakti kepada negara. Pada tahun ini, kita memperkenalkan Anugerah Ikon Guru bagi mengiktiraf jasa guru yang masih berkhidmat dan telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua bakal para penerima anugerah.

 

33. Akhir kalam, saya mengucapkan Selamat Hari Guru dan terima kasih cikgu. Marilah kita bersama-sama menjayakan transformasi pendidikan bagi memenuhi hasrat dan aspirasi negara kita untuk menjadi sebuah negara maju. Seiring dengan tema Hari Guru tahun ini iaitu “1 Agenda, 1 Aspirasi”, saya mengajak warga guru sekalian untuk bekerja bersama-sama saya bagi memastikan pendidikan di negara kita menjadi antara yang terunggul dan terbaik di dunia. Kepada Allah kita berserah dan kepadaNya jua kita memohon pertolongan.

 

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-42 tahun 2013.

 

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share/Save/Bookmark

blog comments powered by Disqus
 

GURU BESAR SKBP

gb
 

Info Semasa

Selamat Datang
Terima kasih atas kunjungan anda ke portal ini. Dapatkan informasi terkini SK Bandar Putra di sini.


UPSR 2014

9.9.2014 24:00 137 Days

JComments Latest

Statistik Pelawat


Laman Popular

Waktu Solat